trx.indexO
zwani.com myspace graphic comments
Islam graphics

Friday 13 April 2012

1.2 Proses Reka Bentuk

b. Penjanaan idea
Hasil pembelajaran:
·           Mengenal pasti prinsip atau kaedah yang boleh menyelesaikan masalah
·           Memberi contoh beberapa idea baru dengan mempamerkannya dalam bentuk lakaran berlabel
·           Menjana beberapa idea baru yang menjurus kepada penyelesaian masalah
·           Membanding dan membezakan idea dari aspek kefungsian
·           Memilih idea yang sesuai dengan penyelesaian masalah
·           Mensintesis idea dari aspek kefungsian

Kebolehan individu menjana pelbagai idea baru atau tersendiri akan banyak membantu menyelesaikan masalah yang dikenalpasti.
Penjanaan sesuatu idea tidak wujud dengan sendirinya.  Ia memerlukan daya usaha daripada individu itu sendiri samada berbentuk semulajadi atau terancang.

Pencetusan idea secara semulajadi
a.    Imaginasi
b.    Bakat (anugerah Tuhan kepada manusia)
c.    Pengalaman

Pencetusan idea secara terancang
    i.   Pemerhatian
    ii.  Berfikir juga boleh menggalakan penjanaan idea. Antara
        teknik-teknik berfikir ialah
            - pemikiran logikal – vatikal
            - analitikal
            - kritikal
            - intuitif
- sumbangsaran
- lateral
- kreatif

Pemikiran logikal
Pemikiran secara logikal menekankan kepada apa yang betul dan apa yang salah dari segi:
    i.  Betul dari segi logik.
   ii.  Betul dari segi kenyataan hidup sebenar.

Pemikiran analitikal
Melalui pemikiran analitikal, seseorang individu itu menganalisis masalah dengan cara memecahkan masalah yang besar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil supaya mudah ditangani.

Melalui analitikal usaha kita tertumpu ke arah memahami situasi yang kompleks dengan cuba melihat situasi itu secara mengenali faktor-faktor utama, mencari persamaan dan perbezaan serta mencari punca-punca masalah.

Pemikiran kritikal
Pemikiran secara kritikal digunakan untuk mengenalpasti kesilapan, kelemahan, kekurangan dan kesalahan pada sesuatu idea atau cadangan.  Melalui pemikiran kritikal faktor-faktor yang boleh dan terbaik diperolehi dengan cara membuang atau memperbaiki faktor-faktor kesalahan dan kelemahan yang telah dikenalpasti.

Pemikiran kritikal juga mempunyai kesan negatif seperti membunuh pertumbuhan idea-idea baru kerana dia akan menilai idea baru dalam konteks situasi lama.

Pemikiran secara kritikal berfokus kepada  hasrat untuk membuktikan bahawa idea orang lain itu salah.

Pemikiran intuitif
Pemikiran intuitif adalah berdasarkan kepada suara hati kecil kita atau mengikut gerak hati dan naluri.  Kadang kala digunakan untuk membuat keputusan dalam keadaan kita tiada maklumat langsung atau dalam keadaan di mana maklumat tidak lengkap.

Sumbangsaran
Sumbangsaran ialah satu teknik yang digunakan dalam aktiviti berkumpulan bagi penjanaan idea yang kreatif untuk tujuan membuat keputusan.

Proses sumbangsaran terbahagi kepada tiga peringkat:
i.  Mengenal pasti, merumus dan mempersetujui pernyataan masalah yang sama.
ii.  Mencari atau memperbanyakkan idea.
iii. Menilai pelbagai alternatif untuk menentukan pelbagai penyelesaian yang sesuai.

Sumbangsaran boleh dilakukan mengikut beberapa peraturan  seperti di bawah:


PERATURAN SUMBANGSARAN PETA MINDA


Pemikiran lateral
Pemikiran lateral bersifat generatif yang bertujuan menerbitkan suatu perubahan baru dan berlainan terhadap sesuatu masalah.  Pemikiran lateral bertujuan mencari alternatif baru tanpa mempunyai batasan terhadap idea yang dikeluarkan.

Pemikiran lateral juga bukan untuk membuat penilaian sama ada salah atau betul tetapi untuk melahirkan idea serta pandangan baru.  Walaupun idea tersebut tidak disengajakan atau bercanggah dengan masalah asal ia boleh diterima sekiranya idea tersebut bersifat positif.

Berikut ialah satu contoh di mana perbezaan antara pemikiran vertikal dan pemikiran lateral.  Kehadiran seekor buaya di sebuah lombong lama di Puchong boleh dilihat sebagai suatu pemikiran lateral merupakan satu masalah yang perlu diselesaikan segera kerana ia membahayakan penduduk di kawasan persekitaran tersebut.  Selepas laporan diterima oleh pihak berkuasa, tindakan yang akan diambil ialah menangkap buaya itu dan memindahkan ke zoo.  Ini adalah pemikiran vertikal.  Walau bagaimana pun buaya itu gagal ditangkap.  Lanjutan daripada itu mengikut pemikiran vertikal, buaya itu mesti ditembak kerana ia haiwan ganas.

Tindakan di atas gagal menyelesaikan masalah.  Ini menunjukkan dalam kes ini pemikiran vertikal tidak berjaya  menjelaskan masalah dengan baik  tetapi ada yang telah bertindak secara kreatif  dengan mencadangkan agar buaya itu dibiarkan hidup di lombong itu.  Hasilnya, tempat itu menjadi tumpuan pelancong.  Peluang perniagaan tiba-tiba datang menggolek untuk penduduk tempatan.  Ini adalah contoh pemikiran lateral yang biasa dapat menghasilkan sesuatu yang kreatif.  Fikiran kreatif menghasilkan produktiviti yang berkualiti.

Pemikiran kreatif
Pemikiran kreatif ialah keupayaan mengubah idea dan persepsi lama ke baru. Pemikiran kreatif lebih diperlukan dalam kehidupan sebenar daripada pemikiran kritikal. Pemikiran kritikal yang tidak diimbangi oleh pemikiran lain boleh menyebabkan seseorang menjadi pemikir yang angkuh dan biadap.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...